Saturday, April 16, 2016

Ubah logo anda kepada sulaman benang berkualiti tinggi

Perkara pertama yang kami lakukan apabila pelanggan datang bersama design untuk sulaman ialah melihat samada logo tersebut akan mempunyai masalah setelah dijahit atau tidak.

Sejujurnya memang kami tidak suka menolak permintaan pelanggan, tetapi perkara ini perlu dilakukan kerana kami tahu ia takkan terhasil dengan baik apabila disulam. Untuk menjimatkan kos dan masa pelanggan, sifat dan proses sulaman mesin ni perlu lah difahami.

Apa yang perlu difahami ialah sifat, proses sulaman dan jenis material yang diperlukan. Ada kalanya eyang perlu ubah sedikit rekaan pelanggan untuk mengeluarkan hasil yang terbaik.

Jadi artikel kali ini eyang nak berikan sedikit panduan apa yang kami buat apabila menerima tempahan baru.

Warna sama tapi bukan 100%

Bekalan warna benang eyang terhad kepada apa yang pembekal sediakan saja. Eyang selalu mencadangkan warna benang kepada pelanggan sebelum proses sulaman supaya pelanggan dapat membayangkan hasilnya nanti.

Warna sampel yang ditunjukkan melalui komputer atau telefon sebenarnya ada sedikit perbezaan berbanding hasil depan mata.
Anda perlu betul-betul faham yea :-)

Sulaman tidak sama dengan skrin printing

Ketebalan dan saiz benang boleh memberi kesan kepada saiz logo yang perlu disulam. Tulisan yang terlampau kecil tidak akan menghasilkan hasil yang elok menggunakan sulaman.

Contohnya tinggi tulisan untuk topi perlulah sekurang-kurangnya 1/4inci tinggi untuk hasil jahitan yang baik. Jika saiz tulisan kurang dari 1/4inci hasilnya tidaklah bergitu cantik dan susah untuk dibaca. Jika dalam cm tulisan mesti lebih tinggi dari 0.6cm atau 6mm.

Walaupun sulaman ada kekurangan disebabkan fizikal benang, proses sulaman juga mempunyai kebaikan iaitu ia boleh memberikan bentuk 3D yang cantik yang tak boleh dihasilkan menggunakan proses lain.

Warna solid menghasilkan sulaman yang terbaik

Kebiasaannya eyang akan cadangkan kepada pelanggan supaya warna pada logo ditukar kepada warna solid  untuk hasil yang terbaik.

Cuba elakkan campuran warna yang ketara pada logo kerana ia tidak akan hasilkan sulaman yang baik terutamanya pada saiz yang kecil.

Berikan gambar logo sejelasnya

Hasil sulaman logo bergantung kepada kualiti gambar (artwork). Pastikan gambar yang anda berikan bukan gambar yang terlampau kecil dan sukar untuk dilihat perinciannya. Proses ‘digitizing’ akan mengambil masa yang lama jika gambar logo anda sukar dilihat.

Gambar berskala kecil atau gambar resolusi kecil yang diambil terus dari website internet akan pecah jika dibesarkan. Jadi memang sukar untuk menghasilkan sulaman mengikut gambar tersebut.

Jenis kain juga penting

Jenis fabrik juga memberikan kesan kepada hasil akhir. Sebagai contoh, jika design tersebut khas untuk tuala garisan pada design tersebut perlu ditebalkan supaya ia tidak tenggelam pada tuala.

Dengan kata lain eyang perlu tahu anda mahu jahit logo pada fabrik apa supaya proses ‘digitizing’ mengikut jenis fabrik pilihan anda. Jadi fabrik yang berbeza perlukan blok sulaman yang berbeza supaya dapat hasil yang terbaik dan cantik.

Warna fabrik dan warna benang

Anda sebenarnya mempunyai 2 (dua) pilihan berkaitan warna untuk sulaman. Tidak ramai yang tahu gabungan warna yang boleh menghasilkan sulaman yang benar-benar menyerlah.

Tone-on-tone: Gabungan warna benang hampir sama dengan warna fabrik.
Tujuan: Klasik, Tidak Ketara, Lembut 

Warna Kontra: Gabungan warna fabrik cerah dan benang warna gelap (atau sebaliknya)
Tujuan: Ketara, Promosi, Senang dilihat

Bilangan jahitan

Tidak semua material atau fabrik sesuai untuk bilangan jahitan yang besar. Fabrik lembut seperti t-shirt atau baju polo akan kelihatan tebal dan mengelembung jika dijahit terlalu tebal.

Nipis dan halus tidak semestinya cantik

Tulisan yang cantik di atas kertas belum tentu menjamin hasil yang baik bila disulam. Font tulisan perlulah diubah suai seperti ketebalan dan saiz . Mungkin eyang akan cadangkan supaya tulisan anda diubah suai kepada jenis bold. Fabrik akan koyak jika garisan jahitan terlalu nipis disebabkan lubang jarum yang terlampau dekat antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment